fb fb fb fb fb

Lapan individu dikesan tidak menghormati Ramadan, merokok di tempat awam di Labuan

Antara individu ditahan dalam operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.

LABUAN, 31 Mac- Sebanyak lapan individu didapati melakukan kesalahan tidak menghormati Ramadan apabila merokok di tempat awam.

Perbuatan mereka dikesan semasa operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan di pulau itu setakat ini.

Ketua Operasi Penguatkuasaan Dan Pencegahan JAWI Labuan, Sazali Ridthouddin Shahbudin berkata, ia hasil pemantauan dilaksana pihaknya sepanjang bulan Ramadan di beberapa buah premis menjual makanan, pusat membeli belah dan taman rekreasi sekitar Labuan.

Tambah beliau kes tidak menghormati Ramadan turun sedikit tahun ini berbanding tahun lepas iaitu seramai 10 orang.

Beliau memberi amaran, individu yang makan di khalayak ramai dan peniaga yang bersubahat boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan salah laku di bawah Seksyen 15 ini juga boleh menyalurkan aduan melalui hotline Penguatkuasa JAWI Labuan di talian 087-415311.

ZEHRA BINTI ZAMBRI