
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus memperkukuh inovasi dan pembaharuan kandungan sempena sambutan ulang tahun ke-80 dengan memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat serta adaptasi teknologi semasa.
- RTM bukan sekadar hiburan; memainkan peranan membina masyarakat dan negara melalui kandungan berilmu dan berimpak.
- RTM menyesuaikan diri dengan cabaran landskap global dan perkembangan kecerdasan buatan tanpa mengabaikan tanggungjawab penyiar nasional.
- Strategi utama termasuk memahami keperluan penonton dan mengekalkan jenama yang relevan.
- Pastikan setiap kandungan memberi impak positif kepada masyarakat bagi menghadapi cabaran masa depan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata RTM bukan sekadar menyediakan hiburan malah memainkan peranan penting dalam membina masyarakat dan negara melalui kandungan yang berilmu serta berimpak.
Menurut beliau, cabaran landskap global dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) memerlukan RTM untuk sentiasa beradaptasi dengan perubahan tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai penyiar nasional.
“80 tahun ini, kita memandang 80 tahun ke hadapan, masyarakat banyak menyokong RTM. Apa yang kita lakukan adalah bagaimana kita bersama membina masyarakat dan negara sejak 1946 lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia Khas Hari RTM ke-80 di Angkasapuri Kota Media.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa strategi utama RTM adalah memahami keperluan penonton, mengekalkan jenama yang relevan serta memastikan setiap kandungan memberi impak positif kepada masyarakat dalam menghadapi cabaran masa depan.