Lanjutan tempoh peralihan e-Invois legakan usahawan PKS

FOTO RTM

IPOH, 11 Januari – Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois tanpa penalti selama setahun lagi disambut baik usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus memberi kelegaan besar khususnya kepada perniagaan berskala kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelanjutan tempoh peralihan e-Invois setahun lagi beri kelegaan kepada PKS untuk buat persediaan tanpa penalti.
  • PKS perlukan masa untuk naik taraf sistem, latih pekerja dan atasi kekangan teknikal serta kos pelaksanaan.
  • Usahawan minta sokongan kerajaan seperti latihan praktikal, nasihat teknikal dan geran untuk bantu bina serta selenggara sistem.

Bagi golongan itu, antara cabaran utama sebelum ini termasuk kos pelaksanaan sistem perisian, latihan pekerja serta kekangan teknikal, terutamanya bagi peniaga yang masih bergantung kepada kaedah pengurusan tradisional.

Namun, lanjutan tempoh peralihan tersebut disifatkan memberi ruang yang lebih realistik kepada PKS untuk membuat persediaan, menaik taraf sistem sedia ada serta melatih kakitangan tanpa tekanan penguatkuasaan penalti.

Usahawan PKS, Mohamad Azmi Ahmad berkata pelaksanaan e-Invois pada awalnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha.

“Cabaran utama ialah kurang memahami pelaksanaannya. Namun, apabila diberi penerangan oleh agensi seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) dan SME Corp, kami mula memahami prosedur e-Invois ini.”

“Pelanjutan tempoh ini memberi sedikit kelegaan dan ruang untuk kami mengukuhkan persekitaran perniagaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, bagi usahawan PKS, Syamsulazan Somri berkata peralihan kepada sistem e-Invois baharu memerlukan kos tambahan serta latihan kepada pekerja.

“Sudah tentu ia memerlukan kos dan tenaga pengajar untuk melatih staf supaya biasa dengan sistem e-Invois. Saya menyokong pelanjutan ini kerana pengusaha mempunyai masa mencukupi untuk melatih staf dan menyediakan keperluan yang masih belum ada,” katanya.

Nada sama turut disuarakan usahawan PKS, Mohd Syafiq Saad, yang berpandangan pelaksanaan e-Invois memerlukan modal tambahan, termasuk pengambilan vendor bagi membangunkan sistem berkaitan.

“Persediaannya bukan sekadar dari segi pengetahuan, tetapi juga modal. Kami perlu melantik vendor untuk membangunkan sistem. Jika kerajaan dapat membantu melalui pemberian geran bagi sistem dan penyelenggaraan e-Invois, ia akan sangat membantu pengusaha kecil,” katanya.

Dalam tempoh setahun peralihan itu, usahawan berharap kerajaan dapat menyediakan sokongan berterusan termasuk latihan praktikal serta khidmat nasihat teknikal, bagi memastikan pelaksanaan e-Invois kelak dapat berjalan lancar tanpa membebankan perniagaan kecil.