Langkah mitigasi ekonomi diperhebat demi kestabilan negara

Ketua Jabatan Kajian IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin (kiri) menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia.

KUALA LUMPUR, 5 April – Malaysia mempergiat langkah mitigasi ekonomi bagi mengekang impak ketidaktentuan global susulan konflik berterusan di Asia Barat yang menekan pasaran tenaga dan rantaian bekalan dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mempercepat pembangunan bahan api bio, termasuk diesel berasaskan sawit, untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
  • Kerjasama serantau bank pusat ASEAN (Malaysia, Indonesia, Thailand) memainkan peranan penting menstabilkan pasaran kewangan dan menyerap tekanan ekonomi.
  • Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk memantau serta merangka intervensi; ketahanan makanan diperkukuh melalui peningkatan pengeluaran domestik.

Kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan kestabilan ekonomi negara walaupun kedudukannya jauh daripada rantau konflik.

Ketua Jabatan Kajian IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin berkata, konflik tersebut memberi tekanan ketara kepada pasaran tenaga global dan memberi implikasi langsung kepada negara pengimport minyak termasuk Malaysia.

Menurut Ketua Jabatan Kajian IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin, konflik berkenaan telah memberi tekanan ketara kepada pasaran tenaga global, sekali gus memberi implikasi langsung kepada ekonomi negara-negara pengimport minyak termasuk Malaysia.

“Antara langkah diberi perhatian ialah mempercepat pembangunan bahan api bio, khususnya gabungan diesel berasaskan sawit bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya.

Ketua Jabatan Kajian IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini

Beliau berkata, kerjasama serantau melibatkan bank pusat negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand juga memainkan peranan penting dalam menstabilkan pasaran kewangan dan menyerap tekanan ekonomi.

Konflik di Asia Barat turut mencetuskan kenaikan harga minyak mentah dunia yang memberi kesan rantaian kepada kos baja dan harga makanan, sekali gus berpotensi meningkatkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Jelasnya, bagi menangani cabaran tersebut, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memantau perkembangan semasa serta merangka intervensi bersesuaian.

Dalam masa sama, isu keselamatan makanan turut perlu diberi perhatian serius berikutan kebergantungan tinggi kepada import.

“Ketahanan makanan perlu diperkukuh melalui peningkatan pengeluaran domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import,” tegasnya.

Dari sudut diplomatik, Malaysia melalui platform serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terus menggesa penamatan segera konflik di Asia Barat.