SEPANG, 15 April- Beberapa langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan keselamatan di lapangan terbang dipertingkat kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Pihaknya juga mecadangkan pihak pengurusan lapangan terbang untuk meletakkan mesin imbasan dan penutupan lorong.
Selain itu penggunaan skuter elektrik akan digunakan bagi memperluaskan kawasan rondaan pihak polis dalam kawasan terbabit.
"Saya nampak salah satu lorong yang hampir dengan pintu tidak boleh dibuka kepada orang awam. Sama ada di balai ketibaan atau berlepas di tingkat lima dan tiga pintu masuk mempunyai risiko tinggi. Jadi lorong yang ke dalam tidak patut dibuka kepada orang awam, ini cadangan pihak polis sejak awal lagi.
"Dahulu kita tak bagi orang awam masuk sebab faktor keselamatan dan menggugat keselamatan di lapangan terbang. Sekiranya di laluan luar masih sempat lagi anggota polis ronda dan lebih sukar untuk orang buat sesuatu yang tidak diingini," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA IPD KLIA, di sini.
Beliau turut menjelaskan berkenaan spekulasi orang ramai berkenaan tindakan anggota polis ketika kejadian.
Ketika insiden itu keutamaan diberikan kepada orang awam kerana ia berlaku di lokasi tumpuan umum.
Dalam pada itu Hussein Omar Khan memaklumkan setakat hari ini kira-kira 11 keterangan saksi kejadian tembakan di KLIA 1 telah diambil.
Sementara itu beberapa saksi lagi akan dipanggil melibatkan ahli keluarga dan rakan perniagaan berhubung insiden terbabit.
"Siasatan masih diteruskan, kita percaya dia (suspek) masih dalam negara dan masih ada memiliki senjata api itu.
"Seperti saranan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), saya seru supaya penama tampil balai terdekatan untuk serah diri dengan cara baik supaya memudahkan semua pihak. Kita jua ada pasukan untuk menjejak di lapangan," katanya.
Mangsa tembakan yang merupakan pengawal keselamatan kepada isteri suspek kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan susulan.