fb fb fb fb fb

'Langkah Dubai' tidak jejas pentadbiran Kerajaan Perpaduan - PM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa 'Langkah Dubai' yang berlaku tidak memberi kesan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tambah Anwar, jentera kerajaan pimpinannya hanya menumpukan kepada usaha pembangunan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

"Bagi saya, 'Langkah Dubai' ini tidak mengesankan dan yang penting kita sudah lancarkan satu program penting untuk rakyat iaitu Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), hari ini.

Kita beri tumpuan kepada pembangunan negara dan menjaga rakyat," kata Anwar kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Sistem PADU, di sini hari ini.

Baru-baru ini, timbul khabar angin berhubung wujud gerakan 'Langkah Dubai', sewaktu percutian pemimpin pembangkang termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam akan disegerakan.

Kita memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam. Saudara harus percaya. Kita tidak menyegerakannya pada tahun lepas kerana kita mewarisi kedudukan kewangan dan hutang negara, ketika itu masih RM1.5 trilion dan defisit 5.6%," tambah Anwar.

14 Julai lepas, kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam, mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiada semakan gaji dibuat sejak 2012.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM