fb fb fb fb fb

Langek Kacau Dodol Vaganza 2025 meriah, 3,000 bekas dodol dihasilkan

Sebanyak 3,000 bekas dodol berjaya dihasilkan menerusi program Langek Kacau Dodol Vaganza 2025 yang berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat / Foto RTM

HULU SELANGOR, 23 Mac – Sebanyak 3,000 bekas dodol berjaya dihasilkan menerusi program Langek Kacau Dodol Vaganza 2025 yang berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Pekan Batu 14, Hulu Langat, pada Sabtu.

Program itu melibatkan lebih 300 sukarelawan daripada 52 agensi, badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan, komuniti setempat serta persatuan penduduk yang bergotong-royong mengacau dodol dalam 50 kawah.

Dodol yang dihasilkan kemudiannya diagihkan kepada penduduk sekitar Hulu Langat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, ketika merasmikan program tersebut menyatakan inisiatif tersebut dapat merapatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum kerana turut disertai masyarakat Cina dan India.

“Selain menghidupkan tradisi gotong-royong, program ini juga memberi pendedahan kepada anak muda mengenai budaya dan warisan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, seramai 103 golongan asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran NGO G20 Malaysia di Bangi.

Mereka turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Pengerusi G20 Malaysia, Datuk Sulaiman Samaian.

Program Sentuhan Kasih “Berbagi Rezeki” itu bertujuan memupuk kasih sayang serta berkongsi kegembiraan bersama golongan yang memerlukan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN