fb fb fb fb fb

Landskap kesuburan Malaysia alami perubahan ketara

Landskap kesuburan Malaysia telah mengalami perubahan ketara dengan penurunan daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022 / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 12 Julai - Landskap kesuburan Malaysia telah mengalami perubahan ketara dengan penurunan daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022.

Jabatan Perangkaan (DOSM) memaklumkan, peralihan itu berkait rapat dengan kelewatan perkahwinan iaitu golongan perempuan memilih untuk merancang keluarga pada usia lebih berumur kerana mengejar pendidikan dan kerjaya.

Selain itu, DOSM mendapati purata umur perkahwinan juga telah meningkat dengan ketara daripada 24.7 tahun (1990) kepada 28.9 pada 2022, memberi kesan kepada tahap kesuburan.

“Sekiranya trend penurunan kesuburan berterusan, saiz isi rumah Malaysia juga mengecil pada masa akan datang.

"Berdasarkan dapatan Banci Malaysia 2020, purata saiz isi rumah persendirian di Malaysia menurun daripada 5.5 pada 1970 kepada 3.9 orang pada 2020, yang akan mengakibatkan bilangan penduduk Malaysia berkurang,” menurut DOSM menerusi kenyataan.

Laporan berkenaan diterbitkan bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia yang disambut setiap pada 11 Julai 1989, bertujuan meningkatkan kesedaran kepada kepentingan isu kependudukan di dunia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN