fb fb fb fb fb

Landasan trem lama Kota Cornwallis bakal jadi pameran terbuka

Foto Facebook Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 9 Julai -Landasan trem lama yang ditemui di sekitar Kota Cornwallis baru-baru ini akan dijadikan pameran terbuka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan penemuan bersejarah itu tanpa ditimbus semula untuk tatapan umum.

“Bahagian landasan ini akan dipelihara dan dipamerkan secara terbuka sebagai salah satu tarikan warisan di George Town,” katanya selepas melawat lokasi penemuan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menunggu keputusan rasmi daripada Jabatan Warisan Negara sebelum tapak pameran berkenaan dibuka kepada orang ramai.

Landasan sepanjang 7.4 meter itu dipercayai dibina sekitar tahun 1895 oleh pentadbiran British.

Ia pernah digunakan semula oleh tentera Jepun untuk mengangkut barangan serta senjata ketika Perang Dunia Kedua.

Landasan trem itu ditemui kontraktor semasa kerja baik pulih dan restorasi parit di sekitar Kota Cornwallis.

 

FARIS IZZAT SHAHARUDIN