KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Penggunaan lampu jalan berasaskan tenaga solar akan terus diperluas di seluruh negara bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta menyokong agenda tenaga boleh diperbaharu.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemasangan lampu solar memberi manfaat jangka panjang dengan mengurangkan kos elektrik serta risiko kemalangan di kawasan gelap dan berisiko tinggi, selain merupakan inisiatif hijau.
"Selaras dengan pembangunan lestari yang lebih mesra alam kerana penggunaan tenaga elektrik dari sumber yang diperbaharu telah mula dipasang oleh JKR pada tahun 2019.Melalui pelaksanaan projek rintis sehingga tahun 2025, sebanyak 9,759 bilangan lampu jalan solar telah dipasang di Jalan Persekutuan di semenanjung.
"Tumpuan kawasan memenuhi kriteria kawasan yang jauh dari sistem gred elektrik, kawasan yang sering berlaku kecurian kabel dan vandalisme serta kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tahun 2025 sahaja, kerajaan memperuntukkan RM24.84 juta bagi memasang 2,513 unit lampu solar di seluruh negara, termasuk 240 unit di Johor dengan kos sekitar RM2.4 juta.
Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan semua lampu solar yang digunakan memenuhi piawaian dengan jaminan lima tahun, sekali gus menolak dakwaan bahawa kualiti lampu yang dipasang rendah.
“Lampu solar yang digunakan bukanlah jenis murah atau tidak berkualiti seperti dibeli dalam talian. Semua pembekal perlu mematuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya,” katanya.
Beliau menambah, teknologi lampu solar kini semakin matang hasil penglibatan industri dan agensi kerajaan, dan akan terus digunakan di lokasi strategik bagi memperkukuh keselamatan serta menjimatkan tenaga dalam jangka panjang.