
KUALA LUMPUR, 12 April – Pendedahan berterusan kepada lambakan maklumat berkaitan konflik global di media sosial berpotensi mencetuskan Trauma Perwakilan atau ‘ Vicarious Trauma’.
- Ibu bapa mesti pantau penggunaan media sosial anak meskipun had umur, verifikasi berita dan elak paparan kandungan grafik.
- Bincang isu konflik secara berhemah dalam suasana santai untuk terangkan punca dan kurangkan tekanan emosi pada kanak-kanak.
- Kenal pasti tanda awal tekanan emosi dan tetapkan sempadan pengambilan maklumat, memandangkan trauma perwakilan pernah melanda petugas COVID-19.
Ia dibimbangi menjejaskan kesejahteraan emosi, khususnya kanak-kanak
Jelas Prof. Dr. Selva Kumar Sivapunniam Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, AIMST University, meskipun kerajaan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun, namun pelaksanaannya tetap menuntut pemantauan aktif ibu bapa di rumah.
“Seolah-olah individu yang mengalami vicarious trauma berada dalam situasi tersebut sendiri, sekali gus menyebabkan tekanan emosi yang berterusan.
“Jadi, apa yang ibu bapa boleh lakukan ialah meneliti kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu. Jika sahih, elakkan daripada menunjukkan kandungan yang bersifat grafik dan sensitif.
“Sebaliknya, bincangkan isu tersebut bersama anak-anak dalam suasana santai seperti ketika makan atau beriadah bersama keluarga. Terangkan secara berhemah tentang konflik di Asia Barat serta sebab-sebab ia berlaku,” kata beliau selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.
Mengulas langkah pencegahan, Prof. Dr. Selva menekankan kepentingan mengesan tanda awal tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak.
Ibu bapa perlu menetapkan sempadan dalam pengambilan maklumat, khususnya media sosial yang memaparkan kandungan konflik secara berterusan.
Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena vicarious trauma bukan sesuatu yang baharu, malah pernah berlaku secara meluas dalam kalangan petugas barisan hadapan ketika pandemik COVID-19.