fb fb fb fb fb

Laman PERKESO digodam, operasi harian tidak terjejas

Foto hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Disember -Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi jaminan perkhidmatan kepada pencarum, majikan dan orang ramai akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan, meski sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu diserang penggodam, sejak Sabtu lalu.

PERKESO ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan, pelan pengurusan krisis diaktifkan pada hari sama, dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.

“PERKESO memberi jaminan, usaha terancang didalangi penggodam ini tidak akan merencatkan khidmat kita kepada pencarum, majikan dan orang ramai. Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” menurut kenyataan PERKESO.

Agensi kerajaan itu menjelaskan, peringkat awal modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan untuk melumpuhkan segenap infra PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.

“Bagaimanapun, kejayaan unit ICT PERKESO mendapatkan semula kawalan sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej PERKESO.

Mengenai kebocoran maklumat dipaparkan di ‘dark web’ atau laman sesawang gelap, hasil penelitian awal PERKESO mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput. Hal itu kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap oleh PERKESO, sejak agensi ini ditubuhkan pada Oktober 1971.

Serangan siber terhadap PERKESO bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah pernah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung.

“Tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara, justeru segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelak episod sama berulang terhadap agensi lain,” menurut kenyataan sama.

MAT YUNUS BIN SABRI