MELAKA, 7 Mei- Hampir dua tahun anak perantauan tidak dapat pulang beraya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP .
Justeru, angka kes yang semakin menurun pada Aidilfitri kali ini, memberi seribu makna untuk pulang ke kampung halaman.
Di Felda Hutan Percha, Machap Jaya, Melaka, pelbagai inisiatif dilakukan komuniti kampung untuk menyuntik semangat anak rantau mereka pulang beraya.
Suasana Felda Hutan Percha yang dahulunya malap setiap kali menjelang Aidilftiri, kini diterangi limpahan cahaya pelita dan lampu hiasan LED yang dipasang di kawasan rekreasi Taman Selesa.
Suasana di Laman Cahaya itu sekali gus menyuntik semangat dan ‘mood’ raya anak perantau pulang ke desa.
Lebih 100 set lampu LED di pasang di laman itu dengan persiapan yang mengambil masa sebulan sepanjang Ramadan lalu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Hutan Percha ,Ahmad Syukri Zulkifli berkata penduduk kampung pelbagai bangsa antara penyumbang terbesar dalam menjayakan
projek Laman Cahaya Lebaran itu.
"Konsep kami lebih kepada konsep tradisional campur dengan moden, jadi pada awal tadi kalau lihat kita ada pelita dan buluh ni punjut. Bagi kami itu adalah tradisional, lampu-lampu LED adalah moden. Kami gabungkan untuk mewujudkan, menampakkan semangat perpaduan orang lama dan baru bergabung untuk kesejahteraan masyarakat," katanya.
(Pengerusi KRT Hutan Percha ,Ahmad Syukri Zulkifli)
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, acara itu bakal menjadi acara tahunan bagi DUN Machap Jaya.
Beliau berharap, dengan adanya laman itu, dapat merancakkan ekonomi penduduk di kawasan berkenaan .
"Kita pun dapat idea juga dari kampung baru sebab di DUN Machap Jaya kita ada Kampung Baru Machap dan Machap Umboo, semasa Tahun Baharu Cina dan tahun ni kita Hari Raya kita ada di Hutan Percha seperti ada meriah seperti di Tahun Baharu Cina juga. Kita akan buat lagi meriah pada tahun depan , kita pun galak ada yang penjaja masuk sini untuk berniaga pada perayaan Hari Raya," katanya.
(ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem)