fb fb fb fb fb

Laluan sehala Tapah dilaksana segera, atasi kesesakan - MB Perak

Menteri Besar Perak ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini/Foto Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

IPOH, 28 Mac – Pelaksanaan sistem penyuraian trafik laluan sehala di pekan Tapah, Daerah Batang Padang akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlarutan sekian lama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu bukan bertujuan menyulitkan rakyat, sebaliknya dirancang untuk memberi keselesaan kepada penduduk setempat terutama menjelang Aidilfitri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning pada April ini.

"Kerajaan Negeri yakin apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, bukan sahaja aliran trafik akan menjadi lebih lancar, malah urusan perniagaan, pergerakan pelancongan, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat akan menjadi lebih efisien dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai pelaksanaan laluan sehala Tapah di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat keperluan mendesak bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Tapah, terutamanya ketika musim perayaan, cuti sekolah, hujung minggu serta waktu puncak.

Katanya, kerja-kerja pembaikan Fasa Satu yang melibatkan penambahbaikan laluan sehala akan bermula dari 7 hingga 30 April ini, membabitkan kos sebanyak RM2.2 juta.

Fasa Kedua pula melibatkan pembinaan jalan baharu atau bypass dan turut akan dilaksanakan dalam tahun ini juga.

GRACE AISYAH KEDAYAN