
KUALA LUMPUR, 13 April – Penduduk sekitar Jalan Kasipillay di sini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan projek naik taraf laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan berkenaan.
- Penduduk sekitar Jalan Kasipillay menghargai naik taraf laluan pejalan kaki berbumbung bagi kebajikan dan keselamatan.
- Projek membantu orang ramai ketika cuaca tidak menentu, memudahkan berjalan ke stesen MRT dengan lebih selesa.
- KPKT melaksanakan projek dua fasa; fasa pertama meliputi sepanjang 300 meter.
- Selepas fasa satu siap, DBKL akan teruskan fasa dua hingga ke stesen MRT Sentul Barat, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasipillay, Victor Joseph menyifatkan ia bukti keprihatinan melindungi kebajikan dan keselamatan penduduk setempat.
“Usaha ini sememangnya membantu orang ramai terutama ketika cuaca yang sangat tidak menentu termasuk hujan lebat. Kini, orang ramai boleh berjalan kaki ke stesen MRT dengan lebih selesa dan semakin ramai akan menggunakan pengangkutan awam kerana kemudahan yang dinaik taraf ini,” katanya kepada RTM.
Beliau ditemui semasa meninjau pelaksanaan projek berkenaan di sini hari ini.
Projek yang dilaksana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membabitkan dua fasa dengan fasa pertama sedang dijalankan meliputi jarak sepanjang 300 meter.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yap Yee Vonne berterima kasih kepada KPKT atas pelaksanaan projek yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Kami berharap projek ini akan memudahkan pergerakan lebih ramai penduduk dan menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam kerana stesen MRT Sentul Barat sangat dekat,” katanya.
Selepas fasa satu projek siap bulan hadapan, DBKL akan meneruskan pelaksanaan fasa dua, membabitkan laluan sehingga ke stesen MRT Sentul Barat.