IPOH, 10 Julai - Laluan Seksyen 11 menghubungkan Beruas ke Taiping Selatan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, pembinaan jajaran sepanjang 35.5 kilometer itu kini berada pada tahap 88 peratus.
Katanya, ia membabitkan Seksyen SKVE, Banting, Assam Jawa dan Taiping Selatan.
Menurut beliau, antara kerja-kerja yang sedang disiapkan melibatkan elemen kejuruteraan seperti penurapan jalan, pembinaan cerun dan tol.
"Oleh kerana laluan turut melalui Hutan Simpan Bubu, WCE akan turut membina pembetung kekotak haiwan sebagai satu langkah untuk pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem.
"Ini bagi membolehkan apa sahaja perhubungan antara haiwan-haiwan ini dapat dikekalkan susulan daripada pembinaan lebuh raya di kawasan itu," katanya selepas sesi libat urus WCESB bersama media Perak hari ini.
Tambahnya lagi, semua plaza tol di lebuhraya berkenaan akan dilengkapi hentian sebelah yang menyediakan kemudahan seperti tandas, surau dan mesin tambah nilai.
"Akan ada empat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu R&R Teluk Intan (utara dan selatan), R&R Sungai Wangi (selatan), R&R Ayer Tawar (utara) dan R&R Sg Nyior (utara dan selatan).
"Jajaran ini akan menyediakan dua hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu di Lekir dan Teluk Intan," katanya.
Tambahnya, apabila jajaran antara Selangor dan Perak itu siap sepenuhnya, dijangka sebanyak 150,000 kenderaan akan menggunakan lebuhraya WCE itu.