KUCHING, 17 Januari - Lembaga Air Kuching (LAK) memberi jaminan bekalan air akan terus disalurkan kepada pengguna walaupun berlaku kebocoran air berhampiran kawasan Jejambat BDC, dekat Jalan Tun Jugah di sini.
LAK menerusi kenyataan berkata, tindakan segera telah diambil bagi mengenal pasti punca kebocoran air tersebut selepas menerima aduan pengguna pada 8 Januari lalu.
Katanya, terdapat tiga saluran paip utama yang ditanam bersama dengan kabel utiliti lain di sepanjang jalan berkenaan.
"KWB telah menjalankan beberapa ujian injap dan pengasingan antara sambungan minggu lepas.
"Kerja-kerja mengenal pasti punca kerosakan akan diteruskan dengan memastikan gangguan bekalan air yang minimum kepada pengguna di kawasan BDC," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, KWB akan melakukan kerja pembaikan segera sebaik sahaja kerosakan telah disahkan dan pengasingan paip dilakukan.
Dalam pada itu, KWB akan membekalkan air ke kawasan yang menghadapi tekanan air rendah menggunakan lori tangki air.
"Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana kerja pembaikan akan menjejaskan kawasan yang besar," katanya.