fb fb fb fb fb

Lagi mangsa pelaburan tidak wujud, kerugian lebih RM1.3 juta

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan/ BERNAMA

SHAH ALAM, 6 Januari- Seorang juruterbang syarikat penerbangan Malaysia mengalami kerugian RM1,366,885 akibat terpedaya pelaburan tidak wujud bagi mendapatkan pulangan yang lumayan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata warganegara tempatan berumur 50 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram.

Beliau berkata mangsa tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang lebih tinggi.

Mangsa hanya menerima pulangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM4,300 dari keseluruhan jumlah wang yang dilaburkan.

"Pengadu telah diberikan satu link untuk ke website aplikasi uvkxe (https://www.uvkxewt.com/) oleh suspek dan pengadu telah diajar cara menggunakan aplikasi uvkxe tersebut.

"Pengadu telah melakukan transaksi kemasukan wang dari bulan Oktober 2024 sehingga Disember 2024 berjumlah RM 1,366,885.00 melalui (34) kali transaksi ke dalam (10) akaun bank berlainan yang telah diberikan oleh suspek.

"Pengadu telah dimaklumkan oleh suspek untuk melakukan pengeluaran dari aplikasi tersebut, pengadu hanya perlu menekan icon “withdrawal” dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan dan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun pengadu dalam masa 24 jam.

"Namun, setelah pengadu menekan icon “withdrawal” tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun pengadu dan pengadu berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis", katanya dalam satu kenyataan.

Kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka dan kes dalam siasatan pihak polis.

Justeru, PDRM menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

ROSLINA BINTI DIN