fb fb fb fb fb

Labuan senarai 18 barangan di bawah SHMMP Aidilfitri

Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di sebuah pasar raya di Labuan

LABUAN, 5 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2024, bermula hari ini hingga 19 April, melibatkan kawalan terhadap 18 jenis barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dijalankan selama 15 hari, iaitu lima hari sebelum perayaan, dua hari semasa perayaan dan lapan hari selepas perayaan.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, tanda harga merah jambu akan diletak pada 18 barangan ditetapkan dan bekalan barangan keperluan di musim perayaan di Labuan adalah mencukupi.

Antara barangan yang dikawal ialah daging kerbau import (India), ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, timun, bawang merah besar import, bawang kuning besar, bawang putih (China), ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, halia tua import, kelapa biji bagi pemborong sahaja dan kelapa parut bagi kedai runcit sahaja.

Tambahnya, peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, di penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau di kompaun sehingga RM50,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail menjelaskan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat terutama melibatkan kenaikan kos rasa hidup khususnya di pulau itu.

Beliau turut menasihati pengguna berbelanja secara berhemah terutama di musim perayaan agar tidak membebankan kewangan mereka.

Pelancaran skim harga dilakukan di sebuah pasar raya di sini.

ROSLINA BINTI DIN