Labuan lancar loji jana kuasa gas baharu, perkukuh keterjaminan tenaga

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menandatangani plak simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 120MW di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha, Labuan hari ini/ BERNAMA

LABUAN, 27 Januari – Sebuah loji janakuasa berkapasiti 120 megawatt (MW) bakal dibina di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha, Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Loji janakuasa 120MW akan dibina di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha, Labuan.
  • Projek dikendalikan RPSB bersama PG Energia, SEC Power dan Sustainable Power.
  • Pembinaan bermula Februari, operasi komersial disasarkan 1 Januari 2028.
  • Loji direka untuk penjanaan fleksibel, meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan bekalan tenaga.

Projek tersebut bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan tenaga, kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik dan kemampanan jangka panjang di Wilayah Persekutuan Labuan.

Projek dikendalikan oleh Rancha Power Sdn. Bhd. (RPSB) dengan kerjasama PG Energia Sdn Bhd (anak syarikat PETRONAS Gas Berhad), SEC Power Sdn Bhd (anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn Bhd), serta Sustainable Power Sdn Bhd (anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd).

Pembinaan dijadualkan bermula Februari ini, dengan operasi komersial disasarkan pada 1 Januari 2028.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapan perasmian berkata pengukuhan infrastruktur tenaga di Labuan, langkah strategik yang menyokong agenda nasional dan serantau secara serentak.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan pembangunan infrastruktur tenaga perlu seimbang antara keperluan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kepentingan komuniti setempat.

Pendekatan itu selaras teras aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu Pengerusi RPSB, Abdul Aziz Othman berkata pembangunan loji janakuasa merupakan langkah transformatif dalam perkukuh daya tahan tenaga serta memacu pembangunan di Labuan.

Direka untuk penjanaan fleksibel dengan margin rizab yang mencukupi, loji itu akan membekalkan tenaga yang stabil bagi memenuhi keperluan sektor kediaman, komersial dan industri di seluruh pulau tersebut.