KULAI, 11 Oktober – Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di sini akan dinaik taraf kepada status Kolej Universiti dan kemasukan pertama akan bermula pada tahun hadapan.
- Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) akan dinaik taraf kepada status Kolej Universiti.
- Kemasukan pelajar pertama ke Kolej Universiti dijangka bermula tahun hadapan.
- Naik taraf disahkan selepas kelulusan pendaftaran Kementerian Pengajian Tinggi pada 6 Oktober.
- Nama rasmi institusi akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, naik taraf dibuat selepas kolej itu menerima kelulusan pendaftaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 6 Oktober lalu.
Pihaknya akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi nama rasmi Kolej Universiti itu.
“Ini merupakan kemenangan besar bagi sektor pendidikan di Johor, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor yang menekankan usaha memperkasa mutu pendidikan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ ke-26 di sini, yang menyaksikan Maahirah Alyyah Ali, daripada Diploma Seni Bina menerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor.
Anugerah sama turut diterima pelajar Sijil Kemahiran Malaysia Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Tiga Fasa, Muhammad Firas Aiman Basir.