fb fb fb fb fb

KWSP terima lebih 30,000 permohonan awal Pengeluaran Bersyarat FSA2

KUALA LUMPUR, 10 April- Lebih 30,000 permohonan awal Pengeluaran Bersyarat diterima bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat semalam.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, secara keseluruhan dianggarkan sebanyak 4.1 juta ahli layak memohon FSA2, berdasarkan baki melebihi RM3,000.00 dalam Akaun 2.

Permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun membolehkan ahli mengambil kira simpanan dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.


(Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin)

"Jumlah permohonan yang diterima adalah sekitar 38,000, tetapi masih lagi bergantung kepada penilaian oleh pihak bank berkenaan kelayakan. Yang telah memohon lebih kurang 38,000", katanya kepada RTM.

Mengulas sama ada jumlah tersebut akan meningkat dalam tempoh terdekat, ujarnya sukar untuk membuat sebarang jangkaan buat masa ini.

Bagaimanapun, ia turut bergantung kepada tahap pemahaman ahli terutamanya berkaitan kelayakan, peraturan serta implikasi yang perlu dihadapi sekiranya tidak memenuhi terma dan syarat ditetapkan pihak perbankan.

Ahli yang masih tidak jelas mengenai FSA2, boleh mendapatkan penerangan lanjut di cawangan KWSP terdekat atau merujuk soalan-soalan lazim di portal FSA2.

Media Baharu