fb fb fb fb fb

Kutipan 3,000 masjid, surau Johor diserah kepada tabung Palestin

(Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid)

JOHOR BAHRU, 23 Oktober - Kutipan sumbangan di 3,000 masjid dan surau di Johor, bagi membantu rakyat Palestin akan diserahkan  kepada Tabung Kemanusiaan Bantuan Rakyat Palestine Negeri Johor, Selasa depan. 

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kutipan selama dua minggu bermula 13 Oktober lalu akan berakhir Jumaat ini. 

Tambah Fared, pihaknya turut memberikan sokongan kepada mana-mana pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti dengan patuh kepada undang-undang dan peraturan sedia ada. 

"Kerajaan negeri memberikan kemudahan supaya mereka melaksanakan perhimpunan di pekarangan yang dibenarkan.

"Kita meraikan setiap pihak yang hendak menjalankan ceramah-ceramah terbuka ini dengan pematuhan undang-undang yang betul", kata Fared selepas Pertandingan Global Wakaf Game ( GWG) Peringkat Negeri Johor di sini.

Menurut Fared lagi, seluruh masjid dan surau di negeri ini juga telah mula melaksanakan solat hajat dan  qunut nazilah sejak konflik Palestine – Israel tercetus, 7 Oktober lalu. 

GWG melibatkan 224 pelajar dari 28 buah sekolah agama dan sekolah menengah di Johor merupakan satu inovasi baharu permainan ilmiah berunsur global wakaf sebagai medium baharu pengajaran dan pembelajaran. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD