KUALA LUMPUR, 5 November- Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk mengurangkan jurang pendidikan khususnya di sekolah-sekolah yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, segala usaha ke arah merealisasikan perkara itu sedang diusahakan oleh kerajaan.
"Pembangunan sekolah daif merupakan antara keutamaan kementerian. Dalam belanjawan kali ini, selain sekolah daif, ia juga berkisar tentang pembinaan sekolah-sekolah baharu, tidak langsung meminggirkan Sabah dan Sarawak.
"Kita ingin wujudkan keseimbangan dari segi pendidikan misalnya kurikulum, sahsiah termasuk pembangunan dan infrastruktur sekolah", katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.
Dalam majlis sama, pemenang Anugerah Malaysia Teacher Prize, Muhammad Nazmi Rosli, guru dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Sarawak berkata, dia bersyukur memenangi hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50,000.
Katanya, dengan hadiah wang itu beliau akan berusaha untuk membuka studio pembikinan filem yang dilengkapi dengan sistem rakaman dan peralatan yang diperlukan untuk kegunaan murid-murid.
Empat lagi finalis yang lain, menerima hadiah wang tunai RM5,000 setiap seorang.