fb fb fb fb fb

Kurangkan import kelapa, KPKM laksana pelbagai program

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR, 30 November- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan pelbagai program pembangunan penanaman kelapa bagi mengurangkan kebergantungan import kelapa negara. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata ini termasuk menjadikan tanaman kelapa sebagai sumber kekayaan baharu sejak 2018 yang telah membangunkan kawasan seluas 3,000 hektar dengan peruntukan RM25.9 juta.

"Kesinambungan tanaman kelapa sebagai sumber kekayaan baharu diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui projek pembangunan industri tanaman kelapa di bawah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dengan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi tempoh lima tahun," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di Dewan Rakyat di sini.

Tambahnya lagi, tumpuan turut diberikan kepada pengeluaran benih kelapa berkualiti iaitu benih kelapa MATAG, Pandan, 'Malayan Yellow Dwarf' (MYD) dan 'Malayan Red Dwarf' (MRD) bagi menyokong projek pembangunan kelapa negara. 

Sehingga 2022, sebanyak 808,940 anak benih kelapa telah dikeluarkan dan diedarkan kepada pengusaha tanaman kelapa. 

Dalam pada itu, Chan akan meningkatkan pengeluaran bekalan makanan ternakan secara tempatan dengan mengambil beberapa pendekatan. 

"Pertama menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta bagi pengeluaran jagung berskala besar. Kedua menyediakan perkhidmatan jentera dan mekanisasi seperti penanam dan penuai untuk kegunaan petani jagung bijian dan ketiga menyediakan latihan bagi meningkatkan kapasiti petani dalam penanaman jagung bijian," kata Chan ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaludin.

Chan turut menjelaskan pihaknya telah mengemas kini strategi dan pelaksanaan supaya kapasiti pengeluaran tempatan dapat ditingkatkan.

Antara langkah yang diambil adalah dengan melaksanakan pengeluaran secara besar-besaran melalui kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM