fb fb fb fb fb

Kuil Batu Caves bakal dilengkapi eskalator - MB

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

BATU CAVES, 25 Januari - Kemudahan eskalator bakal dibina sebagai alternatif kepada 272 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu sedang diperhalusi terutama melibatkan keselamatan struktur bangunan.

Beliau berkata, penelitian untuk membangukan kemudahan itu kini sedang dilakukan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) Selangor.

"Setakat ini pihak kuil menyatakan mereka mempunyai peruntukan mereka sendiri kalau ada keperluan mungkin kita boleh bincangkan, tetapi apa yang kita bantu diperingkat ini permohonan mereka ialah kelulusan jadi itu yang kita akan laksanakan dengan secepat mungkin, hasil daripada mesyuarat yang kita lakukan beberapa bulan yang lepas dan pada tahun lepas lagi saya rasa sangat positif boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Thaipusam peringkat negeri Selangor, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Pengerusi jawatankuasa pengurusan kuil tersebut, Tan Sri R. Nadarajah berkata selain eskalator, dewan serbaguna juga turut akan dibina dengan anggaran kos kira-kira RM35 juta.

Pembinaan kedua-dua projek berkenaan akan dimulakan selepas sambutan Thaipusam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN