KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Had siling gaji baharu tujuan caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan dikuat kuasa mulai hari ini.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
"Langkah meningkatkan siling gaji ini dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus.
"Faedah-faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800," kata PERKESO.
Katanya, bayaran caruman bermula 1 Oktober 2024 dan seterusnya hendaklah dibuat majikan, mengikut pindaan had siling gaji baharu.
"Majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing, bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh PERKESO," kata PERKESO.
Sementara itu, dianggarkan 1.5 juta pekerja atau hampir 15.5 peratus daripada keseluruhan pencarum PERKESO di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji tersebut yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.
Sejak penubuhannya pada 1971 sehingga kini, sebanyak enam kali peningkatan siling gaji telah dilaksanakan dan langkah proaktif ini diambil selaras dengan kenaikan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan (cost of doing business) yang perlu diimbangkan dengan pengagihan faedah serta risiko yang lebih adil kepada pencarum serta orang tanggungannya.