
KUALA LUMPUR, 2 Februari- Kuasa pengampunan yang diperuntukkan bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajar dilihat dengan tenang, bukannya dengan sentimen berlebihan.
- Kuasa pengampunan mesti dilihat tenang sebagai mekanisme perlembagaan, bukan hadiah politik atau simpati peribadi.
- Keputusan pengampunan dibuat melalui musyawarah Lembaga Pengampunan, mencerminkan proses semak dan imbang berlapis.
- Pengampunan tidak membatalkan sabitan mahkamah atau rekod kesalahan dan bukan tanda kelemahan sistem keadilan.
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah, kuasa pengampunan bukanlah hadiah politik dan bentuk simpati peribadi, sebaliknya merupakan mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.
“Sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan.
“Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” titah Sultan Pahang yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di sebuah hotel, dekat sini.
Berangkat sama, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah Al-Sultan Abdullah turut menekankan bahawa keputusan berkenaan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil-wakil institusi utama negara atau negeri.
Sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
Baginda bertitah, dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan tunduk kepada tekanan politik.
“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar Malaysia serta Pahang sentiasa dirahmati.