fb fb fb fb fb

Kuantum pendapatan untuk takrifan T15 sedang dikaji

Anwar Ibrahim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan bercadang menaikkan kuantum pendapatan bagi takrifan T15 memandangkan nilai sedia ada terlalu rendah dan membebankan rakyat, jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang ditekankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sekitar RM13,000 terlalu rendah, dan perkara itu sedang dibincangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jabatan berkaitan.

"Ia bertujuan menaikkan sedikit kuantum T15 supaya tidak membebankan dan pendapatan seisi keluarga tidak terikat dengan takrifan sedia ada," katanya ketika menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam subsidi bersasar di Dewan Rakyat.

Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri itu, Anwar turut memaklumkan cadangan meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah sehingga RM20,000 bagi memenuhi takrifan T15 berkenaan.

Dalam pada itu kerajaan kekal dengan pendirian mengenakan cukai dividen dua peratus kepada pemegang saham dengan pendapatan lebih RM100,000. Ia melibatkan syarikat yang mempunyai pemilikan saham melebihi RM2,000,000.

Pelaksanaan dibuat ke atas syarikat yang tersenarai serta syarikat persendirian termasuk Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS).

"Memang ada rayuan dari PMKS untuk mengecualikan mereka daripada cukai dividen itu atas alasan ia berbeza dengan syarikat tersenarai. Mereka mengambil upah relatif kecil yang disimpan untuk melabur dalam syarikat, ada hujahnya. Sebab itu kita mengambil keputusan, pada mulanya pada kadar lima peratus tetapi kita turunkan kepada dua peratus selepas mengambil kira rayuan tersebut," kata Anwar.

Perdana Menteri turut terbuka menerima sebarang cadangan berkaitan pelaksanaan cukai dividen itu.

Namun menentang tindakan sesetengah pihak yang cuba membantah untuk pengecualian, yang dilihat bertentangan dengan prinsip kerajaan untuk mengagihkan kekayaan secara adil.

Trainee2