fb fb fb fb fb

KTMB tambah baik garis panduan tren sewaan khas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (Charter Train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Perkara itu susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun 'Pinkish Festival' dalam tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah pada Khamis lepas.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihak penyewa berkenaan mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

"KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami.

"Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan," katanya.

Tular di media sosial, memaparkan video penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB dengan lokasinya dipercayai berlaku di ibu negara.

Dalam kenyataan sama KTMB turut memaklumkan perkhidmatan itu (Charter Train) telah diperkenalkan sejak September 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

"Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan," menurut kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI