fb fb fb fb fb

KTMB sedia dua ETS tambahan laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) disediakan bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar sempena cuti persekolahan penggal pertama bermula 24 Mei hingga 3 Jun ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, tiket tren tambahan itu akan mula dijual pada pukul 8.00 malam esok.

Tren tambahan itu menawarkan sebanyak 630 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 6,930 termasuk koc kelas perniagaan.

"Para pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan tiket awal dan tidak membeli tiket pada saat akhir bagi mengelakkan kehabisan tiket.

"Perkhidmatan ETS tambahan itu akan berlepas dari Padang Besar pada pukul 11.00 pagi dan tiba di KL Sentral pada pukul 4.36 petang manakala dari KL Sentral, tren ETS akan berlepas pada jam 5.05 petang dan tiba di Padang Besar pukul 10.34 malam.

Kenyataan itu turut memaklumkan penambahan perkhidmatan tersebut adalah bagi menampung permintaan yang tinggi sempena musim cuti persekolahan selain kepada mereka yang ingin pulang ke kampung.

Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media sosial rasmi KTMB,” katanya.

TETITIA YUSOFF