KTMB santuni pelajar pedalaman Pantai Timur, sempena sesi persekolahan 2026

Foto FB KTM Berhad

KUALA LUMPUR, 11 Januari– Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkukuh peranannya sebagai nadi pengangkutan komuniti pedalaman menerusi program “KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur”, sempena hari pertama sesi persekolahan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • KTMB lancarkan program "Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur" beri cenderahati untuk galak pelajar memulakan sesi persekolahan.
  • Program sasar pelajar sepanjang laluan Shuttle Timuran, melibatkan sekitar 150 pelajar dari beberapa stesen ke Dabong.
  • KTMB kekal pengangkutan utama komuniti pedalaman dan memperkukuh ekosistem MyRailLife dengan 43,464 pendaftaran.
  • Tambah dua perkhidmatan baru Shuttle Timuran Gemas–Kuala Lipis, tingkatkan kekerapan kepada enam perkhidmatan harian.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada pelajar di kawasan pedalaman sepanjang Shuttle Timuran, dengan edaran cenderahati sebagai suntikan semangat untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

Inisiatif itu bermula di Stesen Kuala Gris, melibatkan pelajar yang menaiki perkhidmatan Shuttle Timuran SH51 ke Dabong, selain edaran di dalam tren dari Bukit Abu, Ulu Temiang, Manek Urai hingga ke Stesen Dabong melibatkan, kira-kira 150 orang pelajar.

Program tersebut turut disertai Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar, Mohd Azhar Abu Bakar, bersama Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi, Encik Sadun Abdullah serta Pengurus Wilayah Timur, Basri Abu Bakar.

Menurut Mohd Azhar, perkhidmatan kereta api kekal sebagai pengangkutan utama bagi komuniti pedalaman Pantai Timur yang masih berdepan akses jaringan jalan raya.

Pelaksanaan program itu selari dengan pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2026 berhubung pelaksanaan tambang percuma bagi kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah bermula 1 Januari 2026.

Seiring usaha memperkasa pengangkutan awam, KTMB turut memperkukuh ekosistem MyRailLife, dengan seramai 43,464 pendaftaran direkodkan di Pantai Timur sehingga 2025, termasuk pelajar dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB menambah dua perkhidmatan baharu Shuttle Timuran bagi laluan Gemas-Kuala Lipis bermula 1 Januari 2026, menjadikan enam perkhidmatan harian di laluan tersebut, selari dengan sasaran peningkatan jumlah penumpang pada tahun ini.

Pada tahun 2025, perkhidmatan Shuttle Timuran (SH) merekodkan 395,163 penumpang, manakala Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mencatatkan 666,121 penumpang.

Pada tahun 2026, KTMB menyasarkan 687,214 penumpang bagi SH dan 368,875 penumpang bagi ERT, selari dengan penambahbaikan serta penyusunan semula perkhidmatan mengikut keperluan operasi semasa.

KTMB menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai pengangkutan awam utama negara yang bukan sahaja menghubungkan destinasi, malah menyokong pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.