fb fb fb fb fb

KTMB perkenal pajakan lokomotif dan gerabak secara “Pay-As-Use”

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Operasi Lokomotif dan Gerabak pajakan secara “Pay-As-Use” untuk perkhidmatan kereta api kargo di Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Februari – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan inisiatif pajakan lokomotif dan gerabak barang secara “Pay-As-Use” dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan SMH Rail Sdn. Bhd.

Langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh sektor rel sebagai mod pengangkutan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta tersebut akan memperluas operasi kargo tanpa membebankan kerajaan dengan pelaburan modal yang tinggi, selain memperkasakan kepakaran pembuatan rel tempatan.

“Kita mahu membangunkan industri rel bukan sahaja sebagai sektor perkhidmatan, tetapi juga dalam bidang pembuatan, komponen, dan rantaian bekalan. Ini penting bagi mewujudkan industri rel negara yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Operasi Lokomotif dan Gerabak pajakan secara “Pay-As-Use” untuk perkhidmatan kereta api kargo di ibu negara.

Tambah Loke, KTMB turut merancang memperluaskan program pajakan kepada lebih banyak syarikat tempatan serta meneroka penggunaan lokomotif cekap tenaga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN