KUALA LUMPUR, 16 Februari- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan peningkatan jumlah penumpang seramai 483,880 menerusi perkhidmatan KTM Komuter tanpa henti sempena Thaipusam pada 9 hingga 12 Februari lalu.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan sebelum ini jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan itu ialah seramai 479,877 terutamanya menuju ke Stesen Batu Caves.
"Inisiatif tambang percuma yang dilaksanakan untuk dua hari pada 10 dan 11 Februari turut mencatatkan peningkatan tujuh peratus dengan 333,684 penumpang telah memanfaatkan perjalanan percuma ini, berbanding 310,905 penumpang tahun lepas," menurut kenyataan itu.
Inisiatif berkenaan dilihat akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selain membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta meringankan beban kewangan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.
KTMB turut mengucapkan penghargaan kepada semua pengguna yang memilih perkhidmatan KTM Komuter sepanjang Thaipusam serta komited dalam menambah baik perkhidmatan demi keselesaan serta keselamatan penumpang.