KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan bawah mekanisme Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, demikian dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang turut dihadiri anggota jemaah menteri serta semua agensi berkaitan.
Pelantikan berkenaan bagi memastikan persiapan Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 berada pada tahap tertinggi dalam menangani cabaran di rantau ini dan di peringkat global.
"Persiapan rapi ini amat penting bagi memastikan Malaysia dapat mengetengahkan kepimpinan ASEAN yang berpandangan ke hadapan dalam menangani cabaran di rantau ini dan di peringkat global," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada mesyuarat berkenaan beliau juga menegaskan keperluan untuk semua pihak melakukan persediaan rapi bagi memastikan persidangan tersebut dapat berlangsung dengan sempurna.
"Penyelarasan peranan dan tanggungjawab setiap kementerian, agensi serta entiti kerajaan perlu berada di tahap terbaik dan memberikan kerjasama menyeluruh.
"Tumpuan khusus adalah memperkemas dan mempertingkatkan persiapan logistik bagi menjaga imej Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN," katanya lagi.
Mesyuarat berkenaan merupakan yang pertama diadakan selepas Malaysia menerima Kepengerusian ASEAN di Lao PDR, Jumaat lalu.
Ia bertujuan memperhalusi tahap persediaan negara menjelang permulaan tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025.
Pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane, Malaysia secara rasmi menerima jawatan Pengerusi ASEAN yang diserahkan dari Laos.
Pada majlis berkenaan, Anwar menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.
Perdana Menteri turut memperkenal logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: 'Keterangkuman dan Kelestarian' pada majlis itu.