KSN nafi laporan Bloomberg dakwaan tangguh siasatan Azam Baki

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar

PUTRAJAYA, 31 Mac – Dakwaan kononnya Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham melibatkan Tan Sri Azam Baki adalah tidak benar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha Negara menegaskan dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan.
  • Prosiding siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dimulakan selepas pembentangan Jawatankuasa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri 11 Mac.
  • Prosiding dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan proses dan tatacara ditetapkan.
  • Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata dakwaan itu adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Beliau berkata prosiding siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah dimulakan selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.

“Prosiding ini dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mempunyai proses serta tatacara yang perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, sebarang perkembangan lanjut berhubung siasatan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan.

Penafian itu susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri menggesa penangguhan pendedahan hasil siasatan sementara menunggu siasatan berasingan berkaitan dakwaan pakatan sulit membabitkan ahli perniagaan dan pegawai SPRM.

Sebelum ini, Tan Sri Azam dan SPRM menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan pemilikan saham tersebut.