
PUTRAJAYA, 13 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti beberapa mekanisme berkaitan cadangan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam.
- Cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah untuk sektor awam sedang diteliti, termasuk penyelarasan mekanisme berkaitan.
- Keputusan akhir mengenai cadangan BDR akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa depan.
- Kerajaan melihat pengaturan kerja fleksibel penting untuk memastikan kesinambungan operasi menghadapi konflik geopolitik, bencana dan krisis kesihatan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata hasil perbincangan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa depan.
‘Beberapa ikhtiar sedang diteliti,Perdana Menteri telah minta supaya Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti cadangan bekerja dari rumah atau work from home untuk pastikan beberapa perkara diselaras. Ini untuk sektor awam dan hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat insyaAllah pada Selasa depan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Khas mengenai impak konflik di Asia Barat, di Putrajaya hari ini.
Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Semalam, Wan Ahmad Dahlan dilaporkan berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina telah mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid susulan konflik di Asia Barat.