fb fb fb fb fb

Kru kapal nelayan dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut, elak dicekup pihak berkuasa

Seorang kru kapal nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) / Foto Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 10 Julai - Seorang kru kapal nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kejadian berlaku pada pukul 9.50 malam pada Selasa di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah ketika Op Aman dan Op Tiris 3.0 dilakukan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis telah mengesan kapal berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kapal tersebut memecut laju. Seorang kru disyaki telah bertindak terjun ke laut setelah kapal terbabit ditahan dan disoal siasat," katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu, Noor Azreyanti berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat.

Usaha pencarian mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa kapal nelayan tempatan setempat.

Zon Maritim Kuala Kedah turut meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN