KRT Behor Lateh anjur program tadarus al-Quran semarakkan Ramadan

Foto RTM

KANGAR, 6 Mac -Program Tadarus Al-Quran dianjurkan bagi mengimarahkan lagi suasana Ramadan di samping mengambil peluang menghimpunkan golongan wanita dalam sebuah majlis ilmu yang memberikan pelbagai manfaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengerusi KRT Areff Affandy Ariffin tekankan pentingnya mempelajari, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan.
  • Mengajak semua golongan, khususnya generasi muda, membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
  • Memulakan bacaan pada bulan ini diharap menjadi pemangkin untuk merasai kemanisan dan menjadi istiqamah.
  • Program dijayakan bersama Jiran Muda KRT dan Majlis Mahasiswa Anak Perlis serta disertai 30 peserta komuniti setempat.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Behor Lateh, Areff Affandy Ariffin berkata, penganjuran program itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan mempelajari, memahami dan menghayati Al-Quran, serta mengajak semua golongan, khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan mereka.

“Memulakan membaca al-Quran pada bulan ini dengan usaha yang jitu diharap menjadi pemangkin untuk melatih diri merasai kemanisan mengalunkan ayat suci dan menjadikan kita seorang yang istiqamah.

“Program ini turut memberi semangat dan motivasi yang tinggi kepada golongan ini supaya berusaha untuk celik Al-Quran yang menjadi panduan dalam kehidupan,” katanya pada Program Tadarus di Dewan Taman Perumahan Behor Lateh yang turut dijayakan dengan kerjasama Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga dan Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS).

Seramai 30 peserta terdiri daripada komuniti setempat Taman Perumahan Behor Lateh menyertai program itu.