KUWAIT CITY, 11 Mei - Emir Kuwait, Sheikh Meshal al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah pada Jumaat membubarkan parlimen negara itu disamping mengambil alih beberapa tugas kerajaan enam minggu selepas pilihan raya di negara berkenaan yang menyaksikan krisis politik berulang, lapor agensi media rasmi kebangsaan Kuwait (KUNA).
Agensi berkenaan memaklumkan perintah berkenaan dikeluarkan untuk membubarkan perhimpunan kebangsaan dan menggantung beberapa perkara dalam perlembagaan untuk tempoh tidak melebihi empat tahun.
KUNA turut melaporkan Emir, Sheikh Meshaal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, dan majlis menteri "menganggap kuasa telah diberikan kepada Perhimpunan Kebangsaan.
Pemerintah Kuwait menganggap tindakannya itu berpunca daripada "campur tangan" beberapa ahli parlimen dalam kuasa emir dan yang lain mengenakan "syarat" untuk membantu membentuk kerajaan.
“Kami telah menghadapi kesukaran dan halangan yang tidak boleh diterima,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen negara.
Dia menuduh beberapa penggubal undang-undang mencampuri kuasa putera raja dan putera mahkotanya, namun lupa bahawa perkara berkenaan merupakan hak putera raja yang terkandung dalam perlembagaan.
Parlimen Kuwait yang dipilih pada April lalu akan bermesyuarat buat kali pertama pada Isnin. Namun, sebilangan ahli parlimen enggan mengambil bahagian dalam mesyuarat tersebut.
Sementara itu, eorang penganalisis politik Universiti Kuwait, Badr al-Saif yang menulis di X berkata emir telah mengambil "langkah bersejarah", hanya dilihat sebelum ini di Kuwait pada 1976 dan 1986.
Kuwait telah menyaksikan pertikaian berterusan antara ahli parlimen yang dipilih dan kabinet yang dinamakan oleh keluarga pemerintah Al-Sabah. Al-Sabah mengekalkan cengkaman kuat terhadap kuasa politik, walaupun sistem parlimen telah dilaksanakan sejak 1962.
Kebuntuan telah menghalang parlimen daripada meluluskan pembaharuan untuk mempelbagaikan ekonomi yang bergantung kepada minyak, manakala defisit bajet yang berulang dan pelaburan asing yang rendah telah menambah masalah Kuwait.-AFP