
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan minyak dunia berpotensi memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, khususnya dari segi kos import, inflasi serta operasi syarikat tempatan.
- Gangguan bekalan minyak menaikkan kos pengangkutan, menjejaskan rantaian bekalan dan harga barangan import harian seperti elektronik.
- Kenaikan harga minyak meningkatkan tekanan inflasi apabila bekalan global menyusut tetapi permintaan kekal tinggi.
- Dalam jangka pendek, harga makanan mungkin terkawal kerana subsidi bahan api dikekalkan oleh kerajaan.
- Sekiranya krisis berlanjutan, kos operasi syarikat meningkat, berisiko pemutusan pekerjaan dan penutupan perniagaan.
Perunding Kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, kesan paling ketara dijangka melibatkan barangan import yang digunakan rakyat setiap hari, termasuk barangan elektronik dan ia berpunca daripada gangguan bekalan minyak global yang menjejaskan rantaian bekalan serta kos pengangkutan.
“Kesan langsung yang akan berlaku adalah tentang import-import. Maksudnya barang yang rakyat gunalah, yang terutamanya handphone, apa sahaja yang daripada luar negara memang itu yang dapat kesan yang drastik.
“Kurang drastik adalah barang-barang tempatan, makanan-makanan tempatan yang nak dihantar melalui pengangkutan, sebab bila harga minyak naik, sekarang semua barang ni yang kita makan, yang kita pakai, baju yang diguna sebab sekarang lori pun guna diesel bukan guna EV ke apa, jadi itu akan jadi kesan langsung,” katanya kepada RTM, hari ini.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kenaikan harga minyak lazimnya akan meningkatkan tekanan inflasi kerana bekalan minyak global berkurangan sementara permintaan kekal tinggi.
Namun katanya, bagi jangka masa pendek, kesan terhadap harga makanan tempatan mungkin masih terkawal kerana kerajaan mengekalkan subsidi bahan api buat masa ini.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran, sekiranya krisis itu berlarutan dan harga minyak meningkat secara mendadak, syarikat swasta berdepan peningkatan kos operasi yang boleh menjejaskan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan.
“Bila kos naik, syarikat-syarikat swasta kos operasi mereka akan naik. Tak kira dia meniaga barang, tak kira dia syarikat pengangkutan, memang akan naik. Sebab bila naik, permintaan mungkin kurang.
“Jadi apabila kurang mungkin ada kakitangan yang akan dibuang kerja, ada syarikat swasta yang akan mengecil, tengok sejauh mana berapa lama krisis ini berlaku. Kalau lama memang akan ada syarikat buang kerja dan ada syarikat akan tutup. Tengok harga minyak naik sejauh mana, kalau naik lagi mendadak, saya rasa dalam masa tiga bulan ini dah kita boleh nampak,” katanya.
