
PONTIAN, 18 Februari – Penduduk di Kampung Api-Api dan Ayer Baloi, Pontian masih menghadapi gangguan bekalan air akibat penyusutan paras air di Empangan Machap, Kluang susulan cuaca panas dan ketiadaan hujan selama sebulan.
- Gangguan bekalan air di Kampung Api-Api dan Ayer Baloi berlarutan hampir dua minggu akibat penyusutan paras empangan.
- Penduduk terpaksa berjimat, menyimpan air dan bergantung kepada bekalan Ranhill SAJ untuk keperluan harian dan wuduk.
- Ranhill menghantar tangki statik dan melaksanakan jadual catuan: dua hari tiada air, satu hari ada air.
Tinjauan RTM di Parit Haji Elias, Ayer Baloi mendapati ramai penduduk terpaksa bergantung kepada bekalan air daripada Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) terutama untuk keperluan wuduk di surau.
Masalah gangguan bekalan air yang berlarutan hampir dua minggu itu menyukarkan sebahagian penduduk untuk menyambut Tahun Baharu Cina dengan sempurna.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Lim Ai Boweh berkata, gangguan air itu menyebabkan mereka terpaksa berjimat dan menyimpan air untuk keperluan harian.
“Sangat susah. Nak sambut raya pun kena berjimat. Kadang-kadang air datang sekejap sahaja, sudah habis.
“Nasib baik ada air hujan untuk mencuci. Nak minum dan memasak, kena simpan air bila ada. Tahun Baharu Cina ini memang sukar kerana tiada air untuk membasuh dan memasak”, ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung, Mohammad Nazim Suratman, berkata pihak Ranhill memberi sokongan dengan menghantar tangki statik ke beberapa lokasi bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air, terutamanya di surau, masjid dan sekolah.
Beliau menjelaskan bahawa pihak Ranhill juga telah melaksanakan jadual catuan air bagi memastikan bekalan lebih terurus.
“Alhamdulillah, Ranhill beri sokongan dengan hantar tangki statik di beberapa kawasan. Dalam tempoh krisis ini, mereka keluarkan jadual catuan iaitu dua hari tiada air dan satu hari ada air”, ujarnya.