fb fb fb fb fb

Kren tumbang: Kerja pemulihan giat dijalankan - KTMB

Kejadian yang berlaku di landasan kereta api antara Rawang dan Kuang itu telah menjejaskan seramai 10,000 penumpang.

RAWANG, 13 Disember - Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS), mengalami gangguan perjalanan, susulan kejadian kren tumbang petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata kejadian yang berlaku di landasan kereta api antara Rawang dan Kuang itu telah menjejaskan seramai 10,000 penumpang.

Beliau berkata, kerja-kerja pemulihan kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam.

"Kita telah mengambil tindakan awal dan pantas dengan membuat isolasi terhadap bekalan elektrik pada laluan yang terjejas bagi memastikan kawasan insiden selamat untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mohd Rani, penumpang yang berhasrat tidak meneruskan perjalanan, mereka boleh mendapatkan pemulangan segera tambang melalui KTMB Wallet namun perlu berhubung dengan kakitangan syarikat itu di stesen melalui Pusat Panggilan KTMB (03-22671100) atau melayari laman sosial media KTMB.

Susulan kejadian itu, perkhidmatan komuter sektor Tanjong Malim-KL Sentral-Tanjong Malim telah ditamatkan di Serendah manakala perkhidmatan ETS akan dimaklumkan kelak.

Tiada sebarang kecederaan terhadap penumpang dan kakitangan dilaporkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN