KUALA LUMPUR, 16 Julai- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memperhalusi kesesuaian kategori-kategori lain untuk disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU).
Ia termasuk bagi individu yang menghidap penyakit kronik melemahkan seperti penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
"Di samping itu, menurut Seksyen 24 Akta OKU 2008, pemohon boleh membuat rayuan sekiranya permohonan pendaftaran OKU ditolak dengan mengemukakan surat permohonan kepada Ketua Pendaftar."
"Permohonan perlu disertakan dengan laporan sosial pemohon untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pendaftaran OKU di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) bagi pihak Menteri untuk membuat keputusan," kata Dr. Noraini kepada di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Sehingga Jun lalu, seramai 717,510 individu telah berdaftar sebagai OKU melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di seluruh Malaysia.
Terdapat tujuh kategori OKU yang didaftarkan termasuklah kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal dan mental.
Dalam pada itu, setakat Januari tahun ini terdapat 2,174 petugas sukarelawan memberikan khidmat sokongan sosial kepada 8,698 warga emas dan 1,998 OKU di seluruh negara, setakat Januari tahun ini.
"Kita juga ada Program Home Help atau khidmat bantuan di rumah. Maknanya, individu yang mempunyai penyakit kronik dan terlantar, ia akan dibantu oleh sukarelawan Home Help menjalankan kerja-kerja sukarela di rumah OKU," tambah Noraini.
Noraini turut memaklumkan dua jenis bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan bantuan kewangan kebajikan bulanan sebanyak RM500 sebulan bagi penyakit kronik.
Bantuan tersebut membabitkan 28,281 penerima dengan peruntukkan sebanyak RM165.5 juta tahun lalu.