SERDANG, 3 Ogos - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu seorang jurugambar, Acacia Diana yang trauma menjadi mangsa hendap seorang lelaki tempatan, selama 8 tahun.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan terperinci yang merangkumi siasatan serta kronologi kejadian.
“Kami ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut, namun laporan yang terperinci masih belum diterima.
"Setelah kami terima laporan lengkap, kami akan cuba membantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Mardi, Serdang.
(Acacia diganggu selama lapan tahun)
Nancy turut menegaskan sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual atau jenayah intip mahupun hendap, beliau menasihatkan mangsa agar tidak takut untuk membuat laporan polis secepat mungkin.
“Pertama sekali, sekiranya anda menjadi mangsa ‘stalker’, buat laporan polis serta merta kerana laporan ini akan dijadikan bukti sekiranya mangsa ingin mendapatkan khidmat guaman atau sekiranya mangsa ingin mengambil tindakan lanjut terhadap pelaku.
“Bagaimanapun, untuk penjawat awam, mungkin ada beberapa prosedur atau SOP yang perlu dipatuhi. Tetapi, apa yang penting, buat laporan polis terlebih dahulu,” katanya.
Pada 16 Julai lalu, Acacia membuat laporan polis buat kali ketiga selepas mendedahkan dirinya diganggu oleh seorang lelaki sama dengan mesej lucah.
Acacia pernah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian yang sama iaitu pada tahun 2018, 2022 dan 16 Julai 2023.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya pada semalam.