SANTUBONG, 29 Januari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan 10,000 wanita seluruh negara menyertai Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM tahun ini.
Menterinya, Dato' Sri Nancy Shukri yakin jumlah itu dapat dicapai dengan sambutan positif program tersebut termasuk di Sarawak yang menyaksikan sebanyak 600 penyertaan.
Dato' Sri Nancy berkata Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang julung kalinya dianjurkan di Sarawak selama tiga hari bagi kawasan Sibu, Miri dan Kuching mendapat sambutan menggalakkan dan program serupa akan diadakan di Lundu pada Februari.
Beliau juga menjangkakan seramai 2,000 wanita akan menyertai program tersebut menjelang Mac depan.
"Kita boleh melakukan lebih banyak selepas itu, kita cuba mengikut kemampuan kerana saya katakan peruntukkan bukan daripada kerajaan tetapi GLC membantu, 10,000 untuk tahun ini. Ini sangat mudah untuk dicapai", katanya.
(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Dato' Sri Nancy Shukri)
Dato' Sri Nancy juga berharap program tersebut mampu memperkasakan golongan wanita dengan melatih selain memberi sokongan kepada wanita untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi, terutamanya wanita yang hilang pendapatan, pencari nafkah utama atau ibu tunggal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Santubong.
Terdahulu berucap pada program itu, Dato' Sri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Santubong teruja melihat penyertaan seramai hampir 200 orang dari kawasan Pantai Damai.
Ini jelasnya menunjukkan komitmen golongan itu dalam memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkenaan perniagaan dan kemahiran yang diceburi.
Insentif berjumlah RM500.00 diberikan secara 'one-off' pada program itu untuk membantu golongan wanita menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
Ini terutamanya bagi memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan secara kecil-kecilan.