KUALA LUMPUR, 18 November- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) telah menubuhkan 11 buah taska khusus untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sejak tahun 2013.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata taska tersebut menumpukan kepada kanak-kanak OKU yang menghidapi pelbagai keadaan seperti sindrom down, autisme, masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan pembelajaran.
"Sebagai galakan dan sokongan kepada lebih ramai pihak serta PSK dalam menubuhkan dan mengoperasikan taska OKU di seluruh negara, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan kewangan kepada pengusaha taska OKU.
"Bantuan tersebut termasuk Bantuan Kewangan Penubuhan sebanyak RM500,000 dan Bantuan Kewangan Operasi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Taska OKU Autisme di Sibu, Sarawak merupakan taska pertama ditubuhkan khas untuk kanak-kanak autistik.
Beliau turut berkongsi pencapaian KPWKM setakat September, yang mana sebanyak RM137.4 juta telah disalurkan bagi Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Program berkenaan memberi manfaat kepada 19,907 OKU di 573 PPDK di seluruh negara.