KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh industri penjagaan menerusi Program Latihan dan Pembangunan Kapasiti di bawah Institut Sosial Malaysia (ISM).
Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, malah menggalakkan lebih ramai wanita menyertai sektor penjagaan.
Menurutnya, ISM memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan dengan modul komprehensif bagi memperkasakan industri penjagaan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara.
"Industri penjagaan yang sedang dibangunkan di negara kita bukan sahaja bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh, tetapi juga sebagai persiapan menghadapi status Malaysia sebagai negara tua menjelang 2030.
"Ini bagi memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat penjagaan yang diperlukan, kanak-kanak menerima asuhan terbaik, dan kesejahteraan masyarakat ditingkatkan secara menyeluruh," katanya di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Noraini turut menegaskan bahawa industri penjagaan mencerminkan kesepakatan negara dalam mendukung deklarasi ASEAN mengenai Pengukuhan Ekonomi Penjagaan dan Memperkasa Ketahanan Menuju Komuniti ASEAN Pasca-2025.