fb fb fb fb fb

KPWKM-MKBOKU, cari alternatif pertingkat pengambilan OKU bekerja

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

PERAI, 27 Mei- Infrastruktur bangunan yang tidak mesra Orang Kurang Upaya (OKU) antara faktor golongan itu kurang digaji majikan.

Justeru itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata satu perbincangan bersama Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) akan dilaksana, untuk menambah baik perkara tersebut.

Tambah Nancy, sasaran Dasar Penggajian OKU 1 peratus yang ditetap kerajaan sejak tahun 2010, masih belum dapat dipenuhi secara efektif sehingga kini.

Penambahbaikan tersebut adalah penting bagi menjamin kelangsungan dalam sektor pekerjaan golongan berkenaan.

"Faktor infrastruktur itu mungkin adalah salah satu puncanya. Kebanyakan bangunan adalah bangunan lama, maka dia mungkin tiada kemudahan OKU, untuk golongan ini bekerja atau menggunakan fasiliti itu.

"Jadi, kita ada MKBOKU dan kita akan minta mereka untuk mempercepatkan lagi komunikasi dalam hal ini," kata Nancy kepada pemberita dalam lawatan kerja ke syarikat pembuatan Flex P5 di Perai, Pulau Pinang, petang tadi.

Sementara itu, terdapat seramai 703,287 OKU aktif di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 372,164 OKU layak bekerja.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM