fb fb fb fb fb

KPWKM komited pastikan pesalah PKM tidak ulang kesilapan sama - Zailah

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus berusaha dalam memastikan pesalah-pesalah di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) tidak lagi mengulangi kesalahan jenayah lampau.

Untuk itu, Program 'Ilmu dan Bakti' diwujudkan bagi membina dan mengukuhkan jati diri para pelatih.

Ini termasuk pengisian melalui aktiviti keagamaan yang dikawal selia oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata kerjasama antara pihak JAKIM dan JKM itu diharap dapat menginsafkan pelatih bawah umur di samping meningkatkan kesediaan mereka untuk berdepan dengan masyarakat setelah selesai menjalani hukuman PKM kelak.

Bagi memastikan program tersebut mencapai objektifnya, pelatih PKM turut dipantau oleh pihak JKM dan agensi berkaitan agar mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

"Jadi dengan program ini, kita harap anak-anak terutama pesalah muda yang boleh saya kata tergelincir dalam usia yang belum matang, akan beri semangat baru untuk berubah. Tidak mengulangi kesilapan lalu," kata Datuk Siti Zailah Beliau ketika merasmikan Program Ilmu dan Bakti Perintah Khidmat Masyarakat di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai.

Turut hadir Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Sepanjang tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 2,267 kes yang telah dijatuhi PKM.

Bagi pelatih PKM, Mohd Ikmal Suhaili dan Mohd Hakel Hariq Afiq, dengan penyertaan program ini mampu membina jati diri pelatih untuk terus berubah ke arah lebih baik.

"Kira kita menyesal lah. Dengan program ini, kita dapat baiki diri dengan bimbingan penyelia dan ustaz di sini," kata Ikmal kepada RTM.


(Pelatih PKM, Mohd Ikmal Suhaili meluahkan keberkesanan mengikuti program yang disediakan
kepada pemberita RTM)

"Sebelum ini susah bangun pagi,alhamdulilah, sekarang dah senang nak bangun pagi. Kita berubah jadi lebih baik lah," kata Hakel kepada RTM.

Media Baharu